Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Friday, January 9, 2009

Renungan..


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi serta selawat dan salam kepada Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sahabat-sahabat sekalian, ramai diantara kita yang sering leka dengan keseronokkan dunia yang bersifat hanya sementara. Ramai diantara kita yang lupa hakikat bahawa dunia adalah sarana, persinggahan, jambatan atau dengan perkataan yang lain tempat kita bercucuk tanam sementara menunggu hari pembalasan yang memang jelas dan pasti akan terjadi. Disebutkan dalam Al-Quran, firman Allah SWT:

”sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan, iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (kepadang mahsyar); dan (pada masa itu) langit dipecahbelahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas, dan gunung-ganang serta dihancurkan – diterbangkan keangkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas dipadang pasir..’
(An-naba’: 17-20)

Hasil yang kita perolehi didunia akan kita bawa keakhirat kelak. Cuma persoalannya apa yang akan kita bawa? Adakah kita hidup didunia ini hanyalah untuk mencari wang dan kemewahan semata-mata? Adakah kita hidup didunia hanya untuk makan dan minum sahaja? Apakah jawapan kita pada Allah tatkala kita disoal? Dan adakah amalan kita sudah mencukupi untuk menuju syurga Allah? Adakah kita telah melaksanakan apa yang sepatutnya kita lakukan didunia yang boleh menyelamatkan kita diakhirat kelak?

Semua soalan ini boleh kita jawab tatkala kita sedar tujuan kita hidup didunia ini. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan manusia itu sia-sia. Makhluk yang ada dimuka bumi ini juga mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri dan sentiasa taat( sunnatullah), sedangkan manusia yang diberikan darjat lebih tinggi daripada makhluk-makhluk lain lupa akan peranan yang telah dipertanggungjawabkan. Allah amanahkan manusia seperti kita yang sentiasa membuat kerosakan ini untuk memimpin alam dan boleh menggunakan alam ini untuk tujuan kahidupan. Betapa Allah Maha penyayang dan Mengetahui segala sesuatu. Allah SWT berfirman:

”Dan(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat,”Aku hendak menjadikan khalifah dimuka bumi ini..”
(Al-Baqarah:30)

Sahabat, jika kita memandang dunia sebagai matlamat hidup, dunialah yang akan kita dapat dan tidak akan membawa kita kemana-mana melainkan mendapat murka Allah. Jangan biarkan diri kita hanyut oleh keseronokkan dunia sehingga kita alpa dengan hari pembalasan dimana tiada siapa yang akan membantu kita pada masa itu hatta kawan-kawan ataupun kekasih kita. Allah sudah memberikan peringatan pada hambanya dengan berfirman:

”sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak meminta hartamu..”
(Muhammad, 47:36)

Demikianlah sahabatku, jika seseorang itu sedar akan perbuatan dosa dan maksiat yang kita lakukan didunia, kita tidak akan membuang masa untuk mengejar dunia fana malah berusaha untuk memperbaiki diri dan dalam pada masa yang sama melaksanakan apa yang akan dituntut diakhirat kelak. Tetapi jika seseorang itu sudah sedar bahawa amalannya sudah mencukupi untuk menyelamatkan dia diakhirat kelak, maka mereka akan menghabiskan sisa hidup didunia dengan keseronokkan sebelum mereka tidak sempat merasai nikmat yang ada didunia.

Sahabatku, seru itu sudah lama sampai kepada kita tetapi ada yang masih mengatakan seruan itu belum lagi diberitakan kepada mereka. Adakah kita hendak menunggu sehingga hari pembalasan itu telah tiba, dan kita pada masa itu hendak berpatah balik setekah mengetahui pembalasan itu benar-benar terjadi? Cukuplah kita telah diberikan banyak pilihan semasa didunia, tetapi semasa hari pembalasan itu telah tiba sudah tiada pilihan untuk berpatah balik kedunia untuk mengerjakan kebajikan. Sungguh, Allah SWT hanya beri satu jalan iaitu PERHITUNGAN, selepas itu Allah SWT buka dua jalan kepada kita, syurga dan neraka.

Sahabatku, sementara Allah masih beri kita masa untuk memilih, marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan bermujahadah. Ikatlah hati kita dengan perjuangan, sesungguhnya tanpa perjuangan, hidup kita sudah tiada maknanya. Firman Allah SWT:

”Dan janganlah kamu menjadi orang yang lupa kepada Allah, sehingga Allah menjadikan mereka lupa pada diri sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik..”
(Al-Hasyr,59: 19)

Sahabatku, marilah kita bersama menyeru yang makruf dan mencegah yang mungkar dan sentiasalah memberi peringatan sesama kita. Firman Allah SWT:

”Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang mukmin”
(Az- Zariyat:55)
wallahu'alam..

1 comment:

"..Thanks for your concern. I appreciate that.."