Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
RSS

Tuesday, January 20, 2009

Aku Hairan...

aku hairan
adakah kita lupa hakikat diri sebagai hamba?
apakah kita lupa kebenaran hakiki bahwa kita adalah pendosa?
lalu mana pintu taubat dan nikmat yang perlu kita cari?

aku hairan
bukankah kita bersaksi kita bersaudara pada panji tauhid.
Tapi di mana mereka bila saudara nya disembelih?
bila ummat seiman dengannya di bunuh dan diseksa?
bilamana saudara seislamnya diperkosa?
dimanakah mereka?
dimanakah kita??!!!!

aku hairan
apakah hilang rasional kita?
bergaduh tentang pangkat,jawatan dan pilihanraya
sedang ummat ini masih lagi hanyut dan sesat
dan anak muda gembira dan menari riang dengan syaitan

aku hairan
kenapakah orang-orang tua itu lebih suka berbincang dan berkata-kata
kononnya atas dasar cendekiawan dan ketinggian ilmu pengetahuan
demi dasar demokrasi junjungan
perihal generasi masa hadapan
tetapi,anak muda tetap menari dengan rentak hidup mereka sendiri
adakah Islam itu tertegak dengan kata-kata?


aku hairan
sibuk membentang usul tak pernah berhenti
kononnya membantah tindakan yahudi terlaknat
adakah kata-kata dan usul yang dinanti?
dimanakah tindakan kononnya sebagai Muslim sejati?

aku hairan
kubur mereka sudah dekat menanti
harta bertimbun tak pernah lupa dicari
tak kesah mencuri merompak harta rakyat sendiri.

Aku hairan
ada mereka kata pejuang Islam sejati
tetapi ummat seiman dengan mereka kafir digelari.
berjalan bangga kononnya menteri.

aku hairan
anak muda dengan hidup mereka sendiri
berpimpin tangan,berpeluk dan bersenda
menari tarian dengan lenggok sendiri
adakah lupa pada ketinggian harga diri?

aku hairan
islam dianggap asing pada ummatnya sendiri
lalu mereka kata inilah yang hakiki
itulah yang benar dan kamulah yang salah.
tidakkah sedar kita ini pendakwah bukan hakim menjatuhkan silap dan salah.

aku hairan
bilamana kata-kata yang benar dibuang jauh
pembawa kebenaran dianggap asing
dan kebathilan dipegang teguh
adakah ini ummat masa kini?

aku hairan
ada yang berkopiah,berserban
ada yang berkot,bertali leher
lambang cendekiawan moden bijak berkata
maka kenapa hukum Allah ditolak tepi?

aku hairan
pada ummat ini,pada alam ini,pada diriku sendiri.


aku hairan..
Read more...

Kisah Seorang Lelaki Yang Ingkar Kewujudan Allah


Dikisahkan pada suatu masa dahulu ada seorang lelaki yang ingkar kewujudan Allah menemui salah seorang khalifah. Dia berkata kepada khalifah tersebut:

“ Sesungguhnya ulama di zaman kamu mengatakan bahawa alam ini ada pencipta. Aku bersedia untuk berdebat bagi menetapkan alam ini tiada pencipta ”.

Lantas khalifah mengutuskan kepada seorang alim yang agung memberitahu beliau berita tersebut dan menyuruhnya hadir untuk berdebat.

Pada hari yang dijanjikan, orang alim tersebut sengaja datang lewat sedikit dari waktu yang ditetapkan ke majlis perdebatan. Apabila sampai, khalifah menyambut beliau dan mempersilakannya duduk di hadapan majlis. Pada waktu tersebut para hadirin terdiri dari kalangan bangsawan dan ulamak memenuhi majlis.

Lantas lelaki yang ingkar kewujudan Allah bertanya kepada orang alim tersebut:

“Kenapa kamu tiba lewat?”,

lalu dijawab oleh si alim :

“ Sesungguhnya telah berlaku kepadaku satu perkara yang ajaib menyebabkan aku lewat. Sebenarnya rumahku di seberang Sungai Dijlah. Apabila aku hendak menyeberangi sungai tersebut aku dapati tiada sampan kecuali yang telah usang yang telah pecah kayu-kayunya. Tiba-tiba kayu-kayu tersebut bercantum kembali menjadi sampan tanpa ada tukang kayu atau pekerja yang memulihkannya,boleh dinaiki tanpa tenggelam. Lalu aku pun naiklah dan menyeberangi sungai dan sampailah ke sini”.

Maka lelaki tersebut menjawab secara mengejek:

“ Dengarlah kamu semua para hadirin apa yang dikatakan oleh orang alim kamu ini. Pernahkah kamu mendengar kata-kata yang lebih bohong dari ini? Bagaimanakah ada sampan tanpa tukang kayu yang membuatnya? Ini memang pembohongan yang nyata”.

Ejekan tersebut dibalas oleh orang alim dengan tegas dan keras:

“ Wahai kafir!!! Jika mustahil ada sampan tanpa ada yang membuatnya dan tiada tukang kayu, maka bagaimanakah kamu mengatakan adanya alam ini tanpa pencipta???”.

Lantas terdiam si kafir tersebut dan matilah hujahnya dengan kata-katanya sendiri. Lalu khalifah mengambil tindakan dan mengenakan hukuman ke atasnya kerana beriktikad yang

dirinya kafir.
Read more...

Sunday, January 18, 2009

Palestine!!!

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah”. Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar.

Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan.

Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah.Antaranya peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak.Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui setiausaha negara hal-ehwal luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanahair di Palestin.Pengisytiharan itu telah digelar ‘Ominous

Declaration’ (Pengisytiharan Celaka).Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah Jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk palestin hingga kini masih belum berakhir walau mereka telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut.Antaranya, dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan.Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.Dalam usaha membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas yang sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa lagi.Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin bukanlah sebagai pemilik tetapi sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin, malahan pemerintahan mereka hanya berlangsung selama empat kurun, sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636 M – 1917 M).Ramai daripada Yahudi juga suatu ketika dahulu telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengan tanah itu terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M hingga 20M).Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4,500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948.

Namun mereka tidak pernah menyerah kalah, malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis - ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan wafat di sana.Ia juga medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.Rasulullah bersabda, “diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan).


Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat bertukar ke arah Kaabah di Mekah.Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1)Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin.Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi umat Islam akan datang.Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya. Kini, Baitul Maqdis kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum muslimin dari timur sampai ke barat.Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita bersama. ALLAHUAKBAR!

sahabatpalestin.blogspot.com
Read more...

10 wasiat Imam Hasan Al-Banna

1. Apabila saudara mendengar azan, maka bangunlah sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan sekalipun.


2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik ataupun amalkanlah zikrullah dan janganlah sama sekali saudara membuang masa walau sedikitpun dalam perkara yang tidak berfaedah


3. Berusahalah seberapa daya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul kerana Bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.


4. Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong itu tidak memberi sebarang apapun jua kebaikan


5. Jangan banyak ketawa kerana hati yang berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram


6. Jangan bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara


7. Jangan saudara bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh para pendengar kerana percakapan yang nyaring begitu adalah suatu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang


8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan


9. Berkenal-kenalan dengan tiap-tiap saudara Ikhwanul Muslimin yang saudara bertemu dengannya sekalipun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asas gerakan dakwah kita ialah berkasih-sayang dan berkenal-kenalan


10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

Cetusan : ATQIYA' AKHFIYA' Read more...

Bukan Mudah Untuk Berjuang...

Bukan mudah untuk berjuang Jika hidup tak pernah sembahyang
Bukan mudah untuk berjuang Jika Allah tak sayang
Bukan mudah untuk berjuang Jika Al-Quran tak dipandang
Bukan mudah untuk berjuang Jika Islam semakin dagang
Bukan mudah untuk berjuang Jika hidup tak mahu dicanang
Bukan mudah untuk berjuang Jika takut memegang pedang
Bukan mudah untuk berjuang Jika akidah masih terkebelakang
Bukan mudah untuk berjuang Jika masih nak ikut nenek moyang
Bukan mudah untuk berjuang Jika ilmu tak bagi orang
Bukan mudah untuk berjuang Jika jiwa tak mudah untuk berjuang Jika amal masih bergoyang
Bukan mudah untuk berjuang Jika iman masih bergoncang
Bukan mudah untuk berjuang Jika usrah tak pernah datang
Bukan mudah untuk berjuangJ ika malas tak mahu dibuang
Bukan mudah untuk berjuang Jika ukhuwah tak seimbang
Bukan mudah untuk berjuang Jika fikiran masih melayang
Bukan mudah untuk berjuang Jika hati tak terang
Bukan mudah untuk berjuangJika hasad terus bercabang
Bukan mudah untuk berjuang Jika harta tak mahu berkurang
Bukan mudah untuk berjuang Jika bakhil tak boleh hilang
Bukan mudah untuk berjuang Jika bekerja kerana wang
Bukan mudah untuk berjuang Jika rasuah tak dihalang
Bukan mudah untuk berjuang Jika dunia masih dipegang
Bukan mudah untuk berjuang Jika wahan terus bersarang
Bukan mudah untuk berjuang Jika hidup banyak berhutang
Bukan mudah untuk berjuangJika bala tak dibimbangkarya asli,

Iqram Mahyuddin
(Mantan PRESIDEN PERPPIS 2005/2006)
Read more...

MasyaAllah!!!




Kuala Lumpur, 16 Jan.2009 - Surau Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya gempar pagi ini apabila kepala seekor babi beserta bendera Pas dengan tulisan ‘PMI, PRO M, PAS’ dijumpai di dalam surau tersebut.
Kepala haiwan tersebut dianggarkan diletakkan oleh kumpulan yang tidak dikenali kira-kira pukul 5.00 pagi iaitu sebelum Subuh.
Menurut jurucakap Pro Mahasiswa, saudara Shahir Abdul Aziz, beliau hairan sambil menimbulkan tanda tanya tentang kejadian ini apabila kepala babi berserta bendera Pas tersebut diletakkan di surau Akademi Pengajian Islam
.
“Saya yakin ada pihak yang ingin menyatakan protes terhadap Pro Mahasiswa dan PMI (Persatuan Mahasiswa Islam).
Selain itu, timbul persoalan kenapa kejadian begini berlaku dalam musim PRK sekarang, malah surau Akademi Pengajian Islam menjadi tumpuan?”ujar beliau sambil mengajukan tanda tanya.
Selain itu, presiden Pro Mahasiswa Nasional merangkap Pro Mahasiswa Universiti Malaya, saudara Norazali Zainuddin menyatakan kejadian ini mungkin disebabkan beberapa pihak yang tidak puas hati dengan tindakan Pro Mahasiswa dalam menyatakan pendirian dan pendedahan isu termasuk rasuah dan penyalahgunaan wang dalam politik kampus.
“Saya yakin ada pihak yang rasa terkesan dan seperti mahu menutup mulut kami dalam menyatakan pendirian kami terhadap rasuah dan penyalahgunaan wang yang berleluasa dalam PRK sekarang,”ujar beliau.
Pilihanraya kampus kali disifatkan sebagai yang paling teruk dalam sejarah demokrasi kampus apabila berleluasanya politik wang dan penyalahgunaan kuasa oleh beberapa pihak dalam memenangi pilihanraya.
Isu rasuah TNC HEP yang dibawa oleh Pro Mahasiswa mendapat liputan dan respon panas dari pelbagai pihak. Ekoran dari isu ini, markas Pro Mahasiswa digeledah oleh pihak polis tanpa waran geledah dan kamputer riba diambil. Malah pagi ini, kejadian kepala babi dijumpai di surau API menimbulkan tanda tanya.
Pihak polis masih meneruskan penyiasatan atas kes ini.-mahasiswakini
P/s: Siapalah yang melakukan perbuatan biadab seperti ini!!! dan siapalah dalang disebaliknya!!! Sungguh biadab anda di dalam rumah ALlaah!!!
Ketahuilah, setiap perlakuan kita dinilai dan pasti dicatat... Andai kiranya yang melakukan perbuatan ini adalah orang muslim, sedarlah JANGAN KERANA MENGHARAPKAN HABUAN DUNIA, kita sanggup mencarik-carik kemurnian akhlaq Islam... JANGAN KERANA BERBEZA FIKRAH dalam perjuangan, maka sanggup berbuat sedemikian rupa... Kehidupan dunia yang anda kejar ini hanya sementara , kelak boleh menyebabkan akhirat mu keciciran... sedangkan akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi ABADAN ABABADA
sumber: Ustazah Jannah
Read more...

Saturday, January 17, 2009

Remaja Teras Kekuatan Umat


Oleh NURUL IZZAH SIDEK (fikrahremaja@yahoo.com)

DUNIA sekali lagi menyaksikan kekejaman yang dilakukan ke atas bumi Palestin. Kali ini Semenanjung Gaza dibedil dengan hebatnya, kononnya untuk menghapuskan pejuang-pejuang Hamas yang dilabel pengganas oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Sungguhpun begitu, tempat-tempat awam seperti hospital, masjid dan universiti pula yang disasarkan dengan bedilan bom, lantas mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Serangan darat menambah buruk lagi keadaan rakyatnya. Lebih 800 nyawa sudah gugur dan beribu-ribu lagi cedera dalam permainan senjata Israel. Apatah lagi dengan sekatan bekalan makanan dan ubat-ubatan, kelangsungan hidup rakyat Palestin kini sangat kritikal dan mereka hidup dalam keadaan yang sangat memilukan.

Di kaca televisyen, kita boleh melihat visual bom berangkai dilepaskan sewenang-wenangnya di tempat awam, seolah-olah nyawa rakyat Palestin seperti sudah tiada harga lagi.

Tindakan provokasi

Persengketaan Palestin-Yahudi Israel bukanlah sesuatu yang baru. Negara Palestin adalah tempat lahir dan tinggal sebahagian besar para Rasul dan Nabi Allah menyebarkan Islam, kawasan terletaknya Masjid al-Aqsa, tempat berlakunya Israk dan Mikraj serta kiblat pertama umat Islam.

Menurut sumber sejarah, bangsa Yahudi hanya duduk memerintah selama empat kurun sahaja semenjak zaman Nabi Allah Daud, Nabi Sulaiman dan dijajah pula oleh bangsa Parsi dan Rom selepas itu. Umat Islam pula telah memerintahnya semula selama 12 kurun semenjak ditadbir oleh Saidina Umar r.a pada tahun 636 Masihi sehingga diambil alih oleh Kerajaan Uthmaniah.

Puak Yahudi tidak berputus asa dan dengan sokongan Britain yang berjanji untuk mewujudkan negara Yahudi di bumi Palestin, mereka telah mempengaruhi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan Ketetapan 181 (UNISCOP 1947) pada November 1947. Ketetapan ini telah membahagikan 55 peratus tanah Palestin kepada pendatang haram Yahudi dan selebihnya diserah kepada penduduk asal Palestin yang sah.

Akhirnya Yahudi berjaya menubuhkan negara Israel secara haram pada 1948 dengan sokongan Britain dan nasionalis Arab Palestin. Ia bercanggah dengan prinsip PBB sendiri kerana tidak mengambil kira hak dan suara rakyat Palestin.

Peperangan Arab-Israel yang diakhiri dengan kekalahan di tangan Arab akibat kelemahan pimpinan politik dan tentera telah memberi peluang kepada Israel menambah peluasan wilayah mereka kepada 78 peratus wilayah Palestin.

Sekutunya Amerika Syarikat (AS) merestui tindakan peperangan Israel dan baru-baru ini menolak pelan damai Hamas-Israel dengan hujah bahawa Hamas merupakan kumpulan militan yang bertindak merampas kuasa daripada Pihak Berkuasa Palestin.

Namun begitu, tindakan ketenteraan Israel kali ini lebih dilihat untuk mencetuskan provokasi terhadap negara Islam yang lain, iaitu Iran dan Hizbullah. Iran yang diketahui mempunyai program pembangunan nuklear dan telah berupaya membangunkan kekuatan ketenteraan seperti membina jet pejuang dan bom sendiri telah mencetuskan kebimbangan di kalangan kuasa besar.

Maka tindakan ini tidak lebih daripada provokasi Presiden Bush sebelum tamat penggal pemerintahannya untuk mengheret Iran dan negara Islam lain ke dalam peperangan Israel-Palestin agar mereka mempunyai alasan untuk menutup program pembangunan nuklear dan melemahkan kekuatan negara tersebut.

Ia secara tidak langsung menguji dan mengheret pentadbiran Barrack Hussien Obama, presiden AS seterusnya ke kancah peperangan.

Sesungguhnya sebagai umat Islam dan manusia yang bertanggungjawab, kita kesal kerana negara Barat yang kononnya kuat mempertahankan hak-hak asasi manusia, demokrasi dan sebagainya berlepas tangan apabila berlaku pencabulan hak asasi rakyat Palestin. Penubuhan negara Israel secara haram diiktiraf sah oleh pihak Barat tetapi mereka tidak mengiktiraf pergerakan Hamas yang memenangi pilihan raya secara demokrasi.

Membina kekuatan

Amat sedih apabila terdapat negara Islam terpaksa bertungkus lumus dan bersusah payah menjawab surat tunjuk sebab kepada PBB kerana dikatakan melanggar hak asasi manusia, sedangkan PBB sendiri tidak bertanggungjawab dengan ketetapan sedia ada untuk Palestin atau negara Islam yang lain.

Justeru sebagai remaja yang melihat situasi penderitaan saudara di Palestin dan tempat lain, runtunan emosi seperti marah, sedih dan sebagainya sudah pasti wujud, tetapi seharusnya diikuti dengan perasaan untuk membantu semangat memajukan negara dengan rasa tanggungjawab dan iltizam untuk memajukan umat.

Tunjuk perasaan dan tindakan memulaukan barangan Yahudi dan AS mungkin merupakan langkah yang boleh dilakukan sebagai protes terhadap tindakan mereka, tetapi ia merupakan tindakan jangka pendek. Persoalannya, adakah umat Islam sendiri telah bersedia untuk memulaukan barangan dengan mencipta barangan keluaran mereka sendiri?

Oleh itu sebagai strategi jangka masa panjang, umat Islam perlu berusaha membina kekuatan agar dapat dimanfaatkan untuk menjaga kemaslahatan umat Islam serta membina pelan tindakan yang konsisten dan tersusun di mana kesemua negara Islam terlibat sama.

Dalam melakukan proses tersebut, remaja seharusnya meningkatkan ilmu duniawi, dan dalam pada masa yang sama harus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap iman dan akhlak.

Misalnya, remaja boleh membantu bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga untuk keperluan umat Islam dengan sentiasa istiqamah dalam menambah pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya remaja mempunyai bakat kepimpinan, bakat tersebut boleh disuburkan untuk memimpin bangsa agama dan negara.

Jika remaja tersebut mempunyai bakat dalam mencipta sesuatu yang baru, bakat tersebut boleh digunakan untuk kepentingan orang Islam. Justeru, tidak kira apa bidang yang diceburi, remaja merupakan aset penting kepada negara yang diharapkan menjadi penyumbang kepada kemajuan umat Islam dan membina kekuatan yang diharapkan.

Krisis di Palestin juga seharusnya memberi pengajaran terutamanya kepada remaja Islam berusaha menyusun strategi jangka panjang, meningkatkan pengetahuan terhadap sejarah lampau dan tentang pentingnya keamanan dan perpaduan.

Remaja Islam harus menginsafi bahawa kemajuan teknologi boleh dijadikan alat untuk membuat kebaikan, tetapi juga teknologi juga boleh digunakan untuk menganiayai dan menindas orang. Apabila teknologi berada pada tangan yang rakus dengan kuasa, maka ia akan membawa mala petaka yang besar terhadap masyarakat sekelilingnya.

Perbezaan antara orang Islam dengan Yahudi ialah mereka mempunyai semangat jihad yang tinggi. Walaupun tanpa sokongan alat ketenteraan yang besar dan kuat, mereka mempunyai semangat juang yang sangat tinggi untuk mengembalikan hak mereka.

Tentera Israel berani melakukan kezaliman terhadap penduduk Palestin kerana banyak bergantung kepada kelengkapan tentera dan mendapat sokongan kuasa-kuasa besar.

Justeru, inilah masanya umat Islam bersatu dan berusaha untuk membina kekuatan sendiri. Umat Islam wajib bersatu padu mempertahankan Islam dan tidak bergantung harap bantuan orang bukan Islam untuk menyelamatkan maruah Islam.

Kesimpulan

Israel akan pasti terus berusaha untuk mengusir rakyat Palestin dan menguasai sepenuhnya negara Palestin. Di negara lain, umat Islam juga terhina di bumi sendiri. Sikap tidak peduli umat Islam tentang persoalan akidah, ibadah, syariat dan akhlak akan menjerumuskan umat Islam di bawah telunjuk Yahudi dan pakatan mereka.

Umat Islam, khususnya remaja Islam harus berhati-hati terhadap propaganda Amerika terhadap perjuangan Palestin dan umat Islam seluruh dunia di dalam media yang kebanyakannya dikuasai oleh mereka.


Sumber: Utusan Online
Read more...